Isnin, November 16, 2009

Pekan Nabalu, Tuaran - Kota Belud, Sabah

Pekan Nabalu, My Sweet Home..


Pekan Nabalu merupakan satu tempat yang menarik dan sering dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai tempat kerana tempat ini terletak di tepi jalan utama Ranau dan Kota Kinabalu. Tempat ini menjadi persinggahan utama pelancong yang melalui tempat ini. Sekiranya anda melalui Jalan Ranau ini, anda
di alu - alukan untuk singgah dan menjengah gerai - gerai kraftangan dan buah - buahan yang ada di sini. Anda pasti berpuas hati. Dari tempat ini, Gunung Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Negeri Sabah, Negeri Di Bawah Bayu ini, amat cantik kelihatan. Sebelum anda ingin menjejaki Gunung Kinabalu, singgahlah sebentar menikmati keindahannya di sini. Udara yang segar dan sejuk membuatkan tempat ini sentiasa nyaman. Nenas dan kraftangan adalah produk tarikan utama Pekan Nabalu dan di sini terdapat sebuah replika Nenas yang dijadikan sebagai mercu tanda.




Penduduk Pekan Nabalu secara keseluruhannya terdiri daripada Kaum Dusun. Masyarakat di sini beragama Kristian dan selebihnya Islam. Perpaduan, toleransi dan saling hormat- menghormati menjadikan masyarakat di sini sentiasa harmoni. Walaupun tempat ini kecil, tetapi, anda akan melihat pelbagai ragam orang - orang yang ada di sini. Kebanyakan orang dari kampung - kampung berhampiran seperti dari Kampung Taginambur, Kampung Simpangan, Kampung Giok dan beberapa kampung lagi datang ke tempat ini untuk berniaga menjadikan tempat ini meriah setiap masa. Perayaan seperti Tadau Kaamatan dan aktiviti - aktiviti lain menjadi lebih meriah dan menyeronokkan.

Masyarakat di sini bekerja sebagai petani, berniaga, bekerja di sektor kerajaan dan di sektor swasta. Nenas menjadi tanaman utama di samping padi bukit dan tanaman lain seperti sayuran, getah dan buah - buahan yang menjadi sumber pendapatan dan kegunaan sendiri. Kebanyakan penanaman pertanian di sini di tanam di kawasan tanah sendiri.

Pekan Nabalu terletak di sempadan antara Daerah Kota Belud dan Daerah Tuaran. Hanya garisan tengah Jalan Utama, Jalan Ranau, yang memisahkan antara tempat ini, tetapi di satukan dengan nama yang indah... PEKAN NABALU. Yang lebih menarik lagi, hanya dua buah kampung terdekat yang memisahkan tempat ini dengan sempadan Daerah Ranau, Kampung Kiau Teburi, Kota Belud dan Kampung Tomis Jaya, Tamparuli. Alamat surat - menyurat menggunakan alamat Daerah Tamparuli, semua urusan lain melalui Daerah Tuaran dan pendidikan dalam Daerah Kota Belud, tetapi tidak lama lagi, Pekan Nabalu akan mempunyai sebuah Sekolah Menengah yang memang ditunggu - tunggu oleh masyarakat di sini dan dari kampung sekitar yang membolehkan masyakat disini lebih mudah menjalani kehidupan seharian. Ini kerana, ia boleh mengurangkan perbelanjaan semasa setiap penduduk di sini dan sekitar Pekan Nabalu untuk menghantar anak - anak mereka ke sekolah seperti di Tamparuli atau Ranau dan yang lebih penting, boleh menjana pendapatan dan peluang pekerjaan untuk masa depan.

Pekan Nabalu juga sangat bertuah kerana boleh mendapat pelbagai projek dari kedua - dua daerah ini, menjadikan tempat ini semakin maju dengan adanya gerai - gerai kraftangan, gerai - gerai buah - buahan dan pelbagai projek lain.

Tempat ini memiliki pelbagai kemudahan, antaranya;

  • Tempat beribadah, Surau ( Terletak di hujung gerai Kraftangan ) dan gereja.
  • Padang untuk tempat riadah.
  • Klinik Desa
  • Perpustakaan Desa ( Perpustakaan Desa Pekan Nabalu )
  • Sekolah Rendah
  • Dua buah bangunan Dewan Masyarakat.
  • Taman Persinggahan( Sebelah Bangunan Sedco)
  • Menara( Anda boleh menikmati keindahan sekeliling bila anda datang ke sini )
  • Kemudahan Internet Percuma ( Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) ) di Perpustakaan Desa ini.
  • Kemudahan Asas seperti air, elektrik dan jalan perhubungan yang baik.



Rukun Tetangga Pekan Nabalu dan Pertubuhan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) di sini menjadikan tempat ini selamat untuk di kunjungi setiap masa.

Sejarah Ringkas Pekan Nabalu.

Pekan Nabalu merupakan sebuah pekan baru yang diwujudkan dalam tahun 1980-an. Nabalu merupakan nama baru bagi pekan ini. Ia diambil sempena nama Gunung Kinabalu dan kedudukannya yang terletak berhampiran gunung itu. Sebelum kemudahan infrastruktur wujud, cuma terdapat beberapa buah kampung seperti Kampung Singgaron, Kampung Parad dan Kampung Balabakan sahaja di kawasan ini dan penduduk sekitar kebiasaannya memanggil Batu 24 atau Simpangan. Sebahagian penduduk dari kampung tersebut berpindah ke kawasan ini yang dulunya di kenali sebagai Kampung Balabakan atau Kampung Lomiding yang menyatukan ketiga - tiga buah kampung sehingga kampung ini di namakan Pekan Nabalu. Penduduk awal kawasan ini merupakan golongan petani yang berpindah dari kampung berhampiran yang meneroka tanah untuk pertanian. Pekan Nabalu juga wujud disebabkan lokasinya amat sesuai menjadi kawasan persinggahan. Oleh itu pihak kerajaan telah memberi peruntukan membina kemudahan infrastruktur dan menjadikannya sebuah pekan yang semakin popular.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...